Sejarah SMK Bandar Baru Sungai Long
SMK Bandar Baru Sungai Long telah dibina secara konsortium di bawah pengarah projeknya, Kinta Samudra Sdn. Bhd. Manakala kontraktor yang bertanggungjawab ialah Teras Khidmat Niaga. Kos pembinaannya berjumlah RM 11.8 juta. Tarikh pemilikan tapak untuk projek pembinaan sekolah ini telah diperolehi pada 11 Julai 2000 dan dijangka siap pada 10 Oktober 2001. SMK Bandar Baru Sungai Long telah memulakan operasinya pada 2 Januari 2002 kerana pada tarikh ini mesyuarat guru yang pertama telah diadakan dan dihadiri oleh 37 orang guru. Pengetua pertama yang menjadi perintis sekolah ini ialah Puan Hajah Pon Binti Abdul Majid. Pada 4 Januari 2002, seramai 82 orang pelajar SK Taman Rakan dan 231 orang pelajar dari SRJK (C) Batu 11 Cheras telah diterima masuk sebagai pelajar sulung sekolah ini. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu, Cina dan India. Hari pertama persekolahan telah bermula pada 7 Januari 2002. Jumlah kelas yang dibuka pada peringkat awalnya ialah 11 kelas yang terdiri daripada 4 kelas Peralihan dan 7 kelas Tingkatan 1. Walau bagaimanapun, atas permintaan penduduk setempat, sebanyak 4 kelas tingkatan 2 telah dibuka pada 14 Januari 2002 untuk menempatkan 93 orang pelajar.
Kini jumlah pelajar yang ditempatkan di SMK Bandar Baru Sungai Long ialah 2261 orang pelajar. Manakala jumlah guru pula seramai 120 orang. Tahun 2008 menawarkan 2 sesi persekolahan. Sesi petang menempatkan pelajar tingkatan satu dan dua, manakala sesi pagi menempatkan pelajar Peralihan, tingkatan 3, 4 dan 5. Dari segi matapelajaran, pihak sekolah menawarkan 6 matapelajaran bagi pelajar-pelajar peralihan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Amalan Bahasa Melayu, Pendidikan Seni, Bahasa Cina dan PJK. Manakala bagi tingkatan 1, 2 dan 3, matapelajaran yang ditawarkan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup Bersepadu, Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni, Bahasa Cina dan PJK. Disamping itu, pada tahun ini matapelajaran Pendidikan Siviks dan Kewarganegaraan diperkenalkan untuk tingkatan 1. Manakala bagi tingkatan 4 pakej yang ditawarkan ialah 2 kelas Sains, 1 kelas Sains dan Sastera Ikhisas, 2 kelas Sastera Ikhtisas dan 2 kelas Sastera Ikhtisas dan Kemanusiaan. Manakala bagi tingkatan 5 terdapat 1 kelas Sains, 1 kelas Sastera Ikhtisas dan 3 kelas Sastera Ikhtisas dan Kemanusiaan.
Dari segi kakitangan sokongan, sekolah mempunyai 2 orang Pembantu Tadbir, 2 orang jurutaip, 3 orang Pembantu Makmal, 4 orang Pembantu Am Rendah dan seorang pekerja Rendah Am. Keluasan sekolah ialah 8.90 ekar yang menempatkan 10 blok bangunan. Blok A adalah zon pentadbiran, Blok B, C dan D zon bilik darjah, Blok E, F, G, dan H adalah zon makmal dan bengkel, Blok I ialah zin kantin dan Blok J zon surau. Sekolah ini boleh dikatakan lengkap dari segi infrastruktur dan kemudahan asasnya. Sekolah ini mempunyai pejabat, 36 bilik darjah, Pusat Sumber, Bilik Mesyuarat, Bilik Komputer, Bilik Rawatan, Bilik Guru, Bilik Perkembangan Staf, Bilik Kaunseling, Bilik SPBT, Makmal Biologi, Makmal Fizik, Makmal Kimia, Bengkel Kerja Logam dan Kayu, Bengkel Kerja Paip dan Enjin, Bengkel Kerja Elektrik, Bilik Pengurusan Diri, Bilik Jahitan, Bilik Masakan, Bilik Pendidikan Seni, Kedai Buku, Kantin, Surau dan padang. Walau bagaimanpun dari segi peralatan masih belum lengkap lagi.
Sekolah ini masih dalam kategori Gred B dan termasuk dalam kawasan PKG Cheras.
|