|
|
|
| Written by Sumber Dari Berita Harian |
| Sunday, 21 February 2010 00:55 |
|
Pengurusan Sisa Pepejal Strategi Kurangkan Emisi KarbonMENYEDARI kesan perubahan iklim kepada dunia, Malaysia menetapkan sasaran mengurangkan emisi karbon dioksida (CO2) kepada 40 peratus menjelang 2020 berbanding pelepasan CO2 pada 2005. Komitmen secara sukarela itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen akhir tahun lepas, tertakluk kepada bantuan daripada negara-negara maju.
Ia dilihat langkah positif negara bergerak ke arah ekonomi karbon-rendah. Ini kerana Malaysia sedar perubahan iklim dan pemanasan global secara tidak langsung memberikan kesan kepada survival ekonomi Malaysia selaku negara membangun. Perubahan cuaca tidak menentu seperti taburan hujan, ribut petir dan hakisan di beberapa lokasi di pesisiran pantai di negara ini tentunya akan menjejaskan aktiviti ekonomi di kawasan terbabit. Dengan kata lain, negara tidak mempunyai pilihan kecuali mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuk CO2, bagi membendung kesan perubahan iklim dan pemanasan global.
1GREEN MALAYSIA Timbalan Setiausaha Bahagian Konservasi Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dr Gary W.Theseira, berkata dalam konteks ini kerajaan mengenal pasti tiga strategi utama bagi mengurangkan emisi karbon menjelang 2020. "Satu daripada strategi itu ialah pengurusan sisa pepejal," katanya dalam pembentangan mengenai komitmen Malaysia dalam pengurangan gas rumah hijau itu pada persidangan dan pameran Pengurusan Sisa 2010 di ibu negara, baru-baru ini. Persidangan dan Pameran bertemakan "1Green Malaysia" itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai alam sekitar, Environmental Management and Research Association of Malaysia (ENSEARCH). Mengulas mengenai strategi pengurusan sisa pepejal, Dr Theseira berkata kerajaan menetapkan sasaran kitar semula kepada 22 peratus menjelang 2020 berbanding kadar kitar semula negara yang berada pada tahap lima peratus ketika ini. Selain itu melalui pembinaan lebih banyak tapak pelupusan sanitari, kerajaan juga menetapkan sasaran 75 peratus gas Metana (CH4) yang dihasilkan di tapak pelupusan, diserap dan dijana sebagai tenaga elektrik. CH4 ialah antara gas rumah hijau, selain CO2, yang mengancam lapisan ozon dan menyebabkan kesan pemanasan global dengan sebahagian besarnya dihasilkan melalui proses pereputan sampah dalam tempoh tertentu.
|
| Last Updated on Wednesday, 07 July 2010 14:31 |

























